Friday, February 3, 2012

FaLsAfAh..FaLsAfAh...

Alam terbentang luas dan manusia hidup di dalamnya. Manusia dapat menyaksikan akan keindahan dan ketersusunan alam ini dengan menggunakan pancaindera dan akal yang dimiliki. Kehidupan manusia tidak dapat menghindari alam ini. Maka timbullah perasaan akan adanya suatu kuasa yang mentadbir dan menyusun perjalanan alam ini.
Di dalam dunia ini terdapat pelbagai agama dan anutan serta kepercayaan manusia terhadap tuhan masing-masing. Manusia beragama percaya bahawa terdapat satu entiti yang menguasai dan mengendali akan setiap kejadian dalam kehidupan mereka. Entiti tersebut sama ada sebagai apa yang ditakrifkan oleh sebahagian orang yang berpegang pada agama sebagai tuhan ataupun sebagai apa yang ditakrifkan sebagai dewa atau sesuatu kuasa yang ghaib bagi segolongan yang lain. Mereka amat teguh berpegang pada amalan dan institusi yang berkait dengan kepercayaan tersebut. Agama dan kepercayaan merupakan dua pekara yang sangat berkaitan tetapi agama mempunyai makna yang lebih luas, yakni merujuk kepada satu sistem kepercayaan yang kohensif, dan kepercayaan ini adalah mengenai aspek ketuhanan.
Kepercayaan beragama ini melibatkan kepercayaan oleh satu komuniti manusia atau kelompok masyarakat terhadap sesuatu perkara. Kepercayaan yang hanya melibatkan seorang individu lazimnya tidak dianggap sebagai sebuah agama.Agama adalah fenomena masyarakat boleh dikesan melalui:
·         Perlakuan seperti sembahyang, membuat sajian, perayaan dan upacara.
·         Sikap seperti sikap hormat, kasih ataupun takut kepada kuasa luar biasa dan anggapan suci dan bersih terhadap agama.
·         Pernyataan seperti jambi,mantera dan kalimat suci.
·         Benda-benda material yang zahir seperti bangunan masjid, gereja, azimat dan tangkal.
Kepercayaan beragama bukan sahaja menuntut kumpulan komuniti itu taat, patuh serta yakin terhadap tuhan sebagai hubungan mereka dengan tuhan malah kepercayaan beragama menyebut, salah satu ciri agama adalah berkaitan dengan tatasusila masyarakat. Ini bermakna agama bukan sahaja merupakan soal perhubungan antara manusia dengan tuhan, malah merupakan soal hubungan manusia dengan manusia. Manusia yang tidak tidak mempercayai adanya tuhan dan menolak semua kepercayaan beragama pula dipanggil ateisme.